Wednesday, 24 July 2013

Bagaimana Nak Atasi Masalah Tidur Berdengkur!











Bila sebut pasal tidur, kita mesti terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan lepas penat bekerja. Tapi boleh ke nak tidur lena kalau pasangan kita atau rakan serumah tidur berdengkur? Dan kita jugak tak tahu, entah entah selama ni bunyi dengkur kita yang macam enjin turbo tu yang mengganggu tidur orang.
Punca dengkur ni bukanlah sebab penat terlampau yang macam kita selalu fikirkan tu. Dengkur terjadi sebab ada halangan pada saluran pernafasan mungkin kerana posisi tidur yang salah, pengumpulan lemak sekitar muka atau leher dan mungkin jugak faktor habuk/alahan. Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini akan mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) akan bergetar. Getaran ini akan menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur.
Daripada kita terus mengganggu tidur orang lain, apa kata kita cuba untuk kurangkan masalah tu. Tak lah segan sangat bila terpaksa menumpang dekat rumah orang nanti. Jangan sebab dengkuran berkuasa turbo kita, tuan rumah yang tak boleh tidur.
Cara atasi masalah berdengkur:

Ubah Posisi Tidur
Bila lidah,langit-langit,tonsil atau otot dibelakang kerongkong saling bersentuhan akan menyebabkan kita berdengkur.Posisi terlentang ketika tidur menyumbang ke arah masalah ini,sebab bila kita terlentang lidah akan tertarik ke belakang dan akan menyempitkan aliran udara.Untuk elakkan masalah ini,cuba tidur mengiring. Mengiring ke kanan lebih afdal.
Turunkan berat Badan
Orang yg mempunyai berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal dan berkemungkinan
menyebabkan risiko berdengkur. Jadi langkah terbaik cuba kurangkan berat badan anda,agar lemak yang terkumpul di bahagian kerongkong boleh dikurangkan.
Hindari Ubat Penenang/Sedatif
Apapun jenis penenang sama ada pil tidur dan apa sahaja produk ubatan yang bertujuan untuk menenangkan
akan menyebabkan berdengkur kerana ia boleh mengganggu sistem saraf, menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong.
Hidu Wap Air Panas Sebelum Tidur
Hidung tersumbat juga merupakan salah satu punca berdengkur,jadi sebelum tidur cuba hidu wap air panas atau pun letakkan tuala yg dah dicelup dgn air panas pd muka dan sedut wapnya.Ini adalah satu cara menghilangkan lendir yg menyumbat hidung kita. Bila lendir dah hilang, kemungkinan untuk berdengkur akan berkurang.
Habuk
Habuk atau alahan boleh jadi punca kita berdengkur kerana masalah sukar bernafas. Pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan hama. Untuk yang berkemampuan pasang ‘air filter’ supaya kita mendapat bekalan udara yang bersih.
Guna ‘Breathe Right’
Mungkin ramai yang dah tahu pasal produk ni yang berfungsi membuka rongga hidung bagi mengurangkan dengkuran semasa tidur. Tapi sejauh mana keberkesanannya, penulis sendiri tak tahu sebab tak pernah try. Cuma ada beberapa orang yang bagitahu, diorang still berdengkur cuma volume tu dah kurang. Dan ada yang kata memang pernafasan jadi lancar bila pakai strips tu kat hidung.

Note: Kalau korang berdengkur terlalu kuat hampir setiap malam, baik pergi jumpa doktor sebab mungkin tu bukan dengkur biasa tapi Apnea Tidur Halangan (OSA) yang boleh sebabkan nafas terhenti semasa tidur.

Petua Hilangkan Dengkur Ketika Tidur




اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Tertarik untuk kongsi tentang dengkur nih...



Baik punye perli lelaki berdengkur. if perempuan?

Apa itu Berdengkur?

Berdengkur ialah bunyi bising semasa bernafas, di mana sebahagian daripada saluran pernafasan atas seseorang itu tersumbat. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung. Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain. Berdengkur bertambah kerap mengikut umur dan biasanya tidak membahayakan.



Sebab-Sebab Berdengkur

1. Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak. Apabila otot tidak tegang akibat arak atau ubatan yang menyebabkan otot lemah, lidah akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas. Juga berlaku semasa waktu tidur yang nyenyak



2. Tisu tekak yang besar dan tebal. Kanak-kanak yang mempunyai tonsil dan tisu adenoid yang membengkak selalunya berdengkur. Orang yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar akan mudah berdengkur.



3. Lelangit lembut dan uvula (anak tekak) yang panjang. Uvula yang panjang akan mengecilkan rongga pembukaan dari hidung ke tekak. Getaran yang berlebihan dari tisu ini akan mengakibatkan dengkuran.



4. Saluran pernafasan tersekat. Hidung yang tersumbat dan sukar bernafas menyebabkan individu lebih kerap menyedut udara untuk bernafas. Ini mengakibatkan ruang vakum yang berlebihan di dalam tekak, dan mengakibatkan tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam dan mengakibatkan dengkuran.



5. Batang hidung yang bengkuk, polip dan jangkitan sinus.



Komplikasi
Berdengkur, boleh juga mendatangkan masalah tidur yang serius yang dipanggil ‘sleep apnea’ iaitu apabila seseorang itu berhenti bernafas lebih dari 10 saat buat seketika sewaktu tidur. ‘Sleep apnea’ boleh membahayakan diri dan memerlukan rawatan selanjutnya.



Rawatan
Dengkur yang teruk ialah mereka yang berdengkur pada mana-mana kedudukan atau mengganggu orang lain, sepatutnya mencari khidmat nasihat perubatan bagi memastikan keadaan itu bukanlah masalah ‘sleep apnea’.



Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) akan memeriksa hidung, mulut, tekak, lelangit dan leher mendengkur. Kajian semasa tidur yang dilakukan di dalam ‘makmal tidur’ perlu bagi mengenal pasti tahap keseriusan dengkuran dan kesan kesihatan ke atas mendengkur tersebut.



Rawatan Untuk Dengkur
Rawatan adalah bergantung kepada diagnosis yang dibuat. Pemeriksaan akan menunjukkan dengkur adalah disebabkan oleh alahan hidung, jangkitan, kecacatan atau masalah tonsil dan “adenoid”. Rawatan diberi mengikut sebab-sebab yang dikenal pasti.



Petua untuk Mengurangkan Dengkuran
Kurangkan berat badan jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan
Kurangkan pengambilan arak atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk pada waktu tidur
Cegah pengambilan tranquilizer, pil tidur dan antihistamina sebelum tidur
Elak pengambilan arak sekurang-kurangnya 4 jam dan mengambil makanan berat atau ringan dalam tempoh 3 jam, sebelum berehat
Amalkan tidur pada waktu yang tetap setiap hari
Utamakan posisi tidur mengiring daripada posisi terlentang
Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tidak tertolak ke belakang.



SUMBER 
http://www.naniey.com/2013/03/petua-hilangkan-dengkur-ketika-tidur.html

Dengkur Jadi Masalah


Oleh: EDITORIAL PAMA
Tarikh: 2 Disember 2011




“Suami tergolong sebagai kuat berdengkur sehingga membuatkan tidur saya setiap malam tidak lena. Saya pernah menegurnya sehingga kerap kali kami bertengkar kerana hal ini. Ada yang menasihatkan agar berjumpa dengan pakar agar masalahnya dapat diatasi tetapi dia menolak. Apa harus saya lakukan untuk menasihatkan dia agar tidur saya di masa akan datang lebih tenang?

PANDANGAN KAUNSELOR :

Membaca persoalan puan mengingatkan saya kepada satu drama Melayu yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen mengenai suami kacak yang mempunyai masalah kencing malam berkahwin dengan isteri cantik tetapi tidur berdengkur. Saya kongsikan cereka ini pada awal jawapan bagi mengingatkan diri saya, puan dan para pembaca semua mengenai hakikat kejadian kita sebagai hamba. Kita mempunyai kelebihan dan kekurangan. Bukan bermaksud kita perlu terima sahaja kekurangan tersebut sekiranya ia boleh diatasi. Seperti kes puan, kekurangan dalam diri suami puan boleh diatasi, insya-ALLAH.

Sebelum saya jelaskan mengenai perkara yang boleh puan lakukan bagi membantu suami, ada baiknya puan memahami mengenai tabiat berdengkur terlebih dahulu. Pemahaman ini dapat membantu puan lebih memahami masalah yang mengganggu bukan saja tidur puan tetapi boleh membahayakan suami puan. Hakikatnya, berdengkur ketika tidur bukan satu perkara luar biasa. Mengikut satu kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal berkaitan dengan hidung, telinga dan tekak; American Academy of Otolaryngology, terdapat lebih kurang 45% orang dewasa yang normal didapati berdengkur semasa tidur.

Daripada jumlah itu, 25% di antaranya dikira berdengkur sebagai satu keadaan yang biasa (pendengkur tegar). Masalah berdengkur juga lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Berdengkur juga biasanya akan bertambah dengan pertambahan usia seseorang. Semakin tua seseorang itu semakin dia terdedah untuk berdengkur semasa tidur. Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur yang dikaitkan dengan masalah keturunan, dipengaruhi pola hidup, kesihatan dan persekitaran.

Kajian juga mendapati tabiat dengkur sukar ditangani secara terus. Tiada ubat khusus yang boleh dimakan oleh seseorang untuk menghentikan dengkuran ketika tidur. Sebaliknya puan boleh cuba menghentikan kebiasaan ini melalui kaedah alami dan perubahan pola hidup. Biarpun tidak mempunyai ubat khusus, tabiat berdengkur perlu diusahakan agar berkurangan atau hilang terus kerana kajian menjelaskan, tabiat berdengkur yang teruk boleh mengganggu pernafasan dan menyebabkan lemas di dalam tidur.

Saya faham mengenai keengganan suami untuk berjumpa pakar. Dia tidak menganggap dengkurannya ketika tidur sebagai satu penyakit. Mungkin baginya, puan sengaja enggan belajar menerima kekurangan yang bukan kehendaknya dan tindakan mencadangkan dia berjumpa pakar difahaminya sebagai satu penghinaan. Seolah-olah dia sedang menghadapi penyakit tenat. Jalan terbaik ialah puan membantu suami memahami hakikat sebenar berkaitan dengkuran ketika tidur; punca, kesan dan cara atasinya. Bila suami faham dengan jelas segala maklumat berkaitan berdengkur ini, suami akan lebih mudah memahami kerisauan puan dan berusaha untuk mengatasi masalah tersebut insya-ALLAH.

Puan sendiri boleh membantu suami mengatasi masalah berdengkur dengan mencadangkan agar dia melaksanakan cara-cara berikut:

1. Mengubah Posisi Tidur
Berdengkur terjadi ketika langit-langit, tekak, lidah, tonsil atau otot di belakang tenggorok saling bersentuhan satu sama lain sehingga menimbulkan suara getar semasa tidur. Bunyi dengkuran muncul ketika posisi tidur terlentang sehingga lidah tertarik ke belakang dan aliran udara mengalami penyempitan. Lantas, cuba ubah posisi tidur dengan cara mengiring agar terhindar daripada berdengkur.

2. Turunkan 10% Berat Badan
Orang yang berlebihan berat badan memiliki jaringan leher tebal yang memungkinkan munculnya risiko berdengkur. Jika suami puan termasuk di dalam kategori ini, usahakan untuk menurunkan berat badan lebih kurang 10% daripada berat sedia ada sekarang.

3. Hindari Alkohol Dan Ubat Penenang
Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan suami puan mengambil alkohol. Kajian tunjukkan alkohol juga punca berdengkur dan perlu dielakkan. Malah, jika suami puan menggunakan sebarang ubat penenang seperti pil tidur juga dapat menjadi penyebab berdengkur kerana kecenderungan menekan pernafasan. Lantaran itu, hentikan atau kurangkan kebiasaan menggunakan ubat-ubat penenang, jika ada.

4. Sedut Wap Air Sebelum Tidur
Antara sebab berdengkur ialah hidung tersumbat. Bagi membebaskan hidung tersumbat, boleh gunakan kaedah menyedut dalam-dalam wap air melalui hidung sebelum tidur atau meletakkan tuala yang direndam dalam air panas dan menyedut wapnya untuk menghilangkan lendir penyebab hidung tersumbat.

5. Cubalah Ubat Semburan Hidung
Kajian menunjukkan ubat semburan hidung dapat menyembuhkan hidung tersumbat sehingga dapat terhindar daripada risiko berdengkur kerana memungkinkan lubang hidung terbuka luas. Puan juga boleh gunakan sejenis ubat pengekang lubang hidung yang ada dijual di pasaran sekarang bagi membantu suami puan tidur lebih selesa malah agar tidak mengganggu tidur puan lagi.

Puan boleh bercerita mengenai cara-cara menghindari dengkuran ini kepada suami tika masa yang sesuai. Jelaskan secara berhikmah, bukan mengajar. Paling penting, jangan sampai suami merasakan puan membenci dengkurnya dan paling tragis, bimbang jika dia merasakan puan membencinya kerana dengkur tersebut.

Di samping berusaha memahamkan suami dan mengubah dengkurnya itu, puan perlu panjatkan doa kepada ALLAH SWT agar hati suami dilembutkan untuk menerima segala usaha puan membantunya mengatasi masalah ini.

Puan juga perlu lebih banyak bersabar kerana tidak mustahil, suami berkeras untuk tidak berusaha mengubah dengkurnya itu. Jangan putus asa! Hingga tiba detik tersebut, puan boleh pekakkan telinga dengan menyumbat lubang telinga puan dengan kapas untuk seketika. Ingat! Masalah dengkuran suami juga termasuk di dalam ujian perkahwinan. Jika tidak berwaspada dan usahakan dengan baik, boleh menyebabkan kehancuran rumah tangga, nauzubillah!

VCO mengurangkan DENGKUR


Bagaimana VCO dapat membantu mengurangkan masalah dengkur??





Masalah dengkur biasanya di alami oleh orang dewasa. Jarang kita dapati ia pada kanak-kanak atau awal remaja.



Semasa tidur, badan berada dalam keadaan bawah sedar. Jadinya, otot anak tekak tidak lagi mendapat kawalan terus dari otak dan akan menyempitkan ruang laluan udara macam yang dalam gambar kat atas ni.

Keadaan ini yang menyebabkan dengkuran. Ini kerana sel2 anak tekak sudah hilang keanjalan dan mula mengendur sehingga menyempitkan ruang laluan udara tersebut. Kerana itu masalah dengkur ini melanda kita pada lewat remaja ke atas, kerana keanjalan sel2 kita akan mula berkurangan/ menurun seiring peningkatan usia.

Pengambilan VCO mampu mengurangkan masalah ini. Macamana minyak boleh selesaikan masalah nie??
Uniknya VCO kerana mampu menggalakkan penghasilan sel2 baru yang lebih anjal bagi menggantikan sel2 lama termasuklah sel2 dibahagian anak tekak. Keadaan sel2 baru yang terbentuk memegang 'kuat' antara satu dengan lain itu membantu bukaan laluan udara menjadi besar sedikit tanpa perlu kawalan daripada otak ketika kita sedang tidur.

Ni testimoni pengguna berkaitan masalah ini..



Jom jadikan VCO sebagai supplement harian kita..;)...

Kuat dengkur isyarat bahaya


Oleh NORAINON OTHMAN


TIDAK dinafikan, berdengkur memang mengganggu tidur dan ketenangan orang lain tetapi kadang kala ia melucukan terutama apabila ia berirama serta bersahut-sahutan antara lebih seorang kaki dengkur. Situasi itu boleh kita lihat jikalau dalam perjalanan jauh menaiki bas, kereta api mahupun kapal terbang.

Walaupun ia dianggap perkara lumrah terutama di kalangan lelaki, masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana jika berlarutan, ia petanda seseorang itu terdedah penyakit berbahaya seperti darah tinggi, sakit jantung dan diabetes.



Berdengkur menyebabkan seseorang itu tidak lena tidur malam dan sering berjaga pada waktu malam kerana pernafasan tersekat. Akibatnya, individu terbabit keletihan sehingga sanggup mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata untuk membayar ‘hutang tidur’.

Perunding Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Peru- batan Taman Desa, Dr Khairuzzana Baharudin, berkata berdengkur adalah satu gejala dan jika semakin teruk boleh membawa masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara dari hidung dan mulut tersekat.


Bagi kanak-kanak, dengkuran disebabkan hidung tersumbat atau alahan, bengkak pada tonsil dan adenoid (daging berlebihan seperti tonsil di belakang hidung).


Masalah menjadi lebih teruk jika terdapat masalah jangkitan kuman di hidung dan tekak seperti selesema. Ada juga kanak-kanak yang berdengkur sejak dilahirkan kerana peti suaranya belum matang. Bagi orang dewasa, berdengkur terjadi disebabkan masalah di hidung.


FAKTOR PENYEBAB


Alahan

Tulang hidung yang bengkok

Masalah tisu berlebihan di anak tekak

Obes

Alkohol

Kesan pengambilan ubat yang boleh membuatkan seseorang tertidur

Kedudukan tidur yang terlentang

Tonsil yang bengkak


LANGKAH PENCEGAHAN


Jaga berat badan dengan mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang 22

Tidur mengiring

Berhenti merokok

Jauhi minuman beralkohol

Ubat tidur


RAWATAN


Diagnosis - lakukan skor untuk mengetahui tahap dengkur.


Masukkan kamera dari hidung ke peti suara untuk melihat tahap serius dengkuran pesakit.


Hantar pesakit ‘sleep study’ - ada mesin yang mengesan dengkuran ketika pesakit tidur. Ia mengesan pergerakan tangan, kaki dan oksigen di dalam badan dan gelombang otak sewaktu tidur.


Bersandarkan keputusan ‘sleep study’, doktor boleh mengetahuikan sama ada pesakit mengalami masalah OSA atau ‘central’. Jika masalah itu berpunca daripada central (paru-paru atau otak), pesakit tidak boleh dibedah.

Pembedahan dilakukan bergantung kepada punca yang menyebabkan dengkuran. Terdapat sejenis mesin yang membantu membekalkan oksigen untuk mereka yang obes atau tidak mahu menyelesaikan masalah itu menerusi pembedahan.

Antara pembedahan dilakukan ialah ‘pillar implant’ iaitu bagi meluaskan sedikit ruang di antara lelangit dan lidah, pembedahan tonsil, pembedahan ke atas lelangit atau pembedahan hidung seperti septoplasty untuk meluruskan tulang hidung.

Menurut Dr Khairuzzana, mereka yang berdengkur mengalami kering tekak apabila bangun tidur disebabkan bernafas daripada mulut. Mereka juga mudah tertidur pada waktu siang dan dada mudah berdebar-debar dan cepat marah kerana letih.

Masalah berdengkur boleh membawa kepada kemalangan kerana orang berdengkur tidak mendapat tidur berkualiti. Ketika memandu, mereka mudah terlelap terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Ia turut menjejaskan hubungan kelamin suami isteri berikutan salah seseorang mudah penat padah tiada tidur yang berkualiti. Ada juga yang mengambil keputusan tidur berasingan kerana tidak tahan mendengar bunyi dengkuran pasangannya.

Sementara itu, sering mengantuk dialami pesakit boleh menjejaskan kerja di pejabat manakala pelajar tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.

Epworth Sleepiness Scale (ESS) dilakukan untuk mengukur mengantuk waktu siang menggunakan soal selidik. Ini boleh membantu dalam mendiagnosis gangguan tidur. Skor dibahagikan kepada 0 (tidak tidur), 1 (ada kemungkinan akan tertidur), 2 (mudah tertidur) dan 3 (kemungkinan besar akan tertidur).

Skor keadaan berikut:

1) Ketika duduk dan membaca.
2) Ketika menonton televisyen.
3) Duduk bersahaja di tempat awam.
4) Duduk sebagai penumpang kereta tanpa berhenti.
5) Baring berehat pada waktu tengah hari.
6) Duduk dan bercakap dengan seseorang.
7) Duduk berseorangan selepas makan tengah hari tanpa pengambilan alkohol.
8) Di dalam kereta, berhenti selama beberapa minit ketika kesesakan lalu lintas.

Sekiranya skor berkenaan melebihi sembilan, seseorang itu dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Ini kerana, bagi orang yang normal, jumlah skor akan kurang daripada lapan manakala kadar sewajarnya ialah enam.


METRO : Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/11